KERTAS KERJA 1
MEMBINA JATI DIRI TARBAWI DALAM UJIAN MEDAN SIASAH:
ANTARA KEIKHLASAN, HIKMAH DAN KEBERANIAN
Oleh: YB Datuk Ustaz Idris bin Ahmad
Naib Presiden PAS merangkap Pengerusi Lajnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat
MUQADDIMAH
Sesebuah gerakan Islam yang memilih jalur siasah sebagai medan dakwahnya akan berhadapan dengan cabaran yang besar dan kompleks dalam perjalanan perjuangan. Dakwah dalam konteks ini menuntut keupayaan mengurus realiti kehidupan masyarakat secara menyeluruh bagi mendapatkan sokongan daripada pelbagai lapisan. Kejayaan dakwah siasah tidak hanya diukur melalui kekuatan sokongan dalaman jemaah, bahkan turut bergantung kepada keupayaan gerakan Islam berinteraksi secara berhikmah dengan masyarakat umum tanpa mengorbankan prinsip dan nilai perjuangan. Justeru, sasaran dakwah tidak terhad kepada kelompok tertentu dan tidak terhenti pada lingkungan halaqah tarbiah, usrah dan saf-saf masjid semata-mata, sebaliknya merangkumi keseluruhan kehidupan masyarakat yang pelbagai dari segi latar belakang, kefahaman dan kepentingan.
KERTAS KERJA 2
PERPADUAN UMMAH: ANTARA REALITI DAN STRATEGI MENUJU KEMENANGAN PAS PADA PRU16
Oleh: YB Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man,
Timbalan Presiden PAS, merangkap Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti PAS Pusat
MUQADDIMAH
Perpaduan ummah merupakan tuntutan syarie berpaksikan aqidah untuk memperkukuh asas pembinaan tamadun dan memelihara keharmonian negara; seterusnya menghimpun kekuatan untuk menegakkan Islam. Justeru, ia juga merupakan keperluan strategik dalam memastikan kestabilan politik dan kemenangan Islam di Malaysia.
Dalam realiti politik semasa yang rencam seperti kebergantungan tinggi kepada rakan koalisi yang sering berubah, agenda penyatuan umat Islam tidak boleh lagi digerakkan hanya melalui sentimen dan emosi secara spontan dan reaktif, atau slogan semata-mata; sebaliknya memerlukan kerangka fiqh siyasah, disiplin jamaah, kejelasan dasar serta strategi politik yang realistik dan berprinsip.